Thursday, November 11, 2010

INFORMASI :DARI MEJA PRESIDEN 30 : Agensi – Universiti – Industri

Assalammualaikum WBKT,

Selamat menyambut bulan Ramadhan dan selamat berpusasa kepada semua usahawan-usahawan dan ahli-ahli The RIGHTS, semoga pada puasa tahun ini akan memberikan Cahaya di hari depan untuk meneruskan perjuangan ekonomi ini yang masih belum selesai.

Beberapa minggu ini The RIGHTS telah dijemput untuk bertukar-tukar pendapat dan aktiviti dengan beberapa Kementerian atau Agensi Kerajaan dan beberapa universiti.

Pelbagai input dapat diperolehi daripada Kementerian dan Agensi-Agensi serta universiti ini dan sebahagiannya sehingga saya sendiri tidak pernah tahu bahawa ianya wujud dan jika saya yang aktif dalam bidang keusahawanan tidak mengetahui atau tidak dapat akses kepada maklumat yang begitu berguna saya juga merasa pasti bahawa ramai usahawan di sana tidak juga boleh akses kepada maklumat yang ada di Kementerian dan Agensi.

Begitu juga di universiti, ramai yang berpendapat bahawa di universiti hanyalah tempat belajar  bagi siswazah untuk mencari ilmu atau mendapatkan segulung ijazah dan sebagainya.  Ramai yang tidak tahu bahawa di universiti ada macam-macam peluang.  Peluang yang saya maksudkan ialah ada peluang perniagaan, peluang bekerjasama, peluang mendapat kepakaran dan skill dan banyak lagi.

Begitu juga industry (usahawan) terutama usahawan Bumiputera tidak berapa suka ke universiti kerana beberapa factor, pertama mungkin usahawan merasa rendah diri kerana harus berjumpa dengan professor ataupun doctor yang mungkin pada pendapat usahawan yang mempunyai ide mengganggap ide yang dia ada diiktiraf sebagai ide bodoh dan ketinggalan zaman.  Atau boleh juga dikatakan bahawa banyak university mengamalkan sikap tutup pintu membuatkan usahawan risau untuk mengetuk pintu.

Dasar dan Polisi;

Kementerian dan agensi dipenuhi dengan polisi dan dasar, walaupun perkara tersebut kekadang sangat mudah untuk dilaksanakan oleh pegawai-pegawai tetapi oleh kerana terlalu banyak polisi dan dasar menyebabkan perkara yang mudah dijadikan susah.

Begitu juga university, walaupun banyak R & D telah dibuat dan banyak produk prototaip yang dibangunkan mendapat pelbagai pengiktirafan namun tidak banyak produk yang dihasilkan dapat dikomersilkan kerana maklumat mengenai produk atau hasil R & D tidak boleh diakses oleh Industri.

Manakala industry pula tidak dapat menerima sesuatu polisi atau dasar yang boleh merimaskan mereka.  Tindakan yang lambat, banyak prosedur membuatkan mereka jemu dan fed up terutama pemain industry terkenal.

Isu yang hendak saya nyatakan;

Bilamana Kementerian Pengajian Tinggi menganjurkan progam Industri dan Universiti saya sangat menyokong kerana program seperti ini harus dilaksanakan lama dahulu.  Oleh itu, beberapa MoU diantara Universiti dan Industri telah dijalinkan pada bulan Julai 2010.

Apa yang hendak saya katakana disini, ialah jika Universiti terus berinteraksi dimanakah siswazah yang akan dikeluarkan lebih kurang 150,000 orang setahun, dimanakah hendak kita tempatkan siswazah-siswazah ini?  Masihkah kita mengharapkan industry-industry ini akan membuka peluang perniagaan kepada siswazah nanti?

Bila melihat kepada peluang pekerjaan semakin mengecil, peluang perniagaan haruslah dilihat sebagai jalan keluar.  Namun jika industry dan university berinteraksi secara terus peluang untuk mewujudkan usahawan di tengah-tengah university dan industry mestilah dibina.

Disinilah pihak-pihak berkenaan harus melihat potensi siswazah untuk mengisi RUANG KOSONG diantara Universiti dan Industri.

Bagaimana harus dilakukan?

Banyak university telah mula menekankan sifat-sifat keusahawanan kepada siswazah mereka dan kebanyakkan university telah mula meningkatkan peratusan dalam bidang keusahawanan, namunpun begitu pengisiannya masih lemah dan masih boleh dipertingkatkan lagi kerana sifat-sifat keusahawanan tidak semestinya siswazah menjadi peniaga, tetapi sifat-sifat keusahawanan tersebut boleh diamalkan dalam bidang pekerjaan juga bila masa siswazah itu bekerja.

Tetapi dalam tulisan saya kali ini saya akan lebih menumpukan kepada kepada bidang keusahawan dan perniagaan dan bagaimana perlaksanaan yang boleh dilakukan oleh semua pihak yang berkepentingan.

Perlaksanaan boleh diberikan kepada beberapa bahagian atau fasa seperti berikut:

1.       Universiti.



a.       R & D.  Sebagai permulaan semua hasil daripada R & D yang telah dilakukan oleh university diberi peluang kepada siswazah untuk mengkomersilkan produk-produk tersebut.

b.      Siswazah.  Siswazah mestilah membentuk kumpulan pentadbir terutama daripada university yang mempunyai fakulti ekonomi.  Kumpulan boleh memilih produk sedia ada atau membuat atau menghasilkan produk lain yang sesuai yang diperlukan pasaran.

c.       Set Up Perniagaan.  Kumpulan siswazah boleh mula set up sebuah syarikat bagi menggerakkan syarikat selain mengkomersilkan serta memasarkannya.



2.       Kementerian dan Agensi.



a.       Geran & Dana.  Kerajaan atau agensi berkaitan seharusnya memberikan peluang kepada syarikat-syarikat siswazah ini mendapat geran atau dana teroka dan sebagainya.

b.      Polisi.  Satu polisi khas mestilah diwujudkan bagi memudahkan syarikat siswazah untuk terus dipacu.

c.       Latihan dan Kursus .  Latihan dan kursus pengurusan perniagaan yang bersesuaian mestilah diberikan kepada mereka berdasarkan kepada jawatan yang disandang didalam syarikat bagi memberikan ilmu tambahan.



3.       Industri



a.       Kontrak dan pembekalan.  Industri juga harus menyokong dengan memberi peluang kepada syarikat siswazah dalam bentuk kontrak atau menjadi pembekalan kepada industry mereka.

b.      Peluang Perniagaan.  Industri juga harus membuka peluang perniagaan kepada syarikat siswazah dan sebagainya.

Ini adalah sebahagian kecil yang saya kongsikan tetapi banyak lagi perkara yang harus dilaksanakan dan untuk melaksanakan ini satu kolobrasi antara kerajaan, university dan industry mestilah dilakukan dan satu jawatankuasa pelaksana, pemantauan mestilah diwujudkan kerana kegagalan mengenalpasti kekuatan dan kelemahan menjadi musuh utama.

Jika Negara kini memfokuskan kepada Modal Insan untuk mencapai Negara Maju menjelang 2020, PELUANG dan RUANG mestilah diwujudkan.  Tanpa RUANG dan PELUANG, modal insan tidak akan menjadi produktif.

Dalam satu forum diantara pemimpin-pemimpin siswazah, seorang ahli penal berkata, orang Melayu jangan jadi tidak produktif kerana BERUK pun Produktif kerana telah diajar untuk memanjat pokok bagi menurunkan kelapa bertandan-tandan tetapi malang anak-anak Melayu masih kerja jurutol kerana BERUK lebih produktif daripada itu.

Saya bersetuju dengan beliau, namun PELUANG dan RUANG mestilah diwujudkan bagi membolehkan mereka produktif, namun ia terletak kepada setiap individu tersebut dan jika sumber manusia ini tidak digunakan sepenuhnya kepada tempat yang produktif, harapan untuk mencapai Negara maju mungkin kurang Berjaya.

Peluang perniagaan sangat banyak untuk orang Melayu namun tidak ramai yang bersedia untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan yang berinovasi dan kreatifviti.  Ramai yang menjadi peniaga ikut-ikut menyebabkan ramai usahawan Melayu berada dalam industry yang sama.

Dan apabila university menganjurkan program, mereka tidak didedahkan dengan dunia keusahawanan sebenar.  Kebanyakkan university memanggil CEO-CEO syarikat GLC yangmana pengalaman CEO ini dalam dunia perniagaan juga sangat cetek yang ada pada mereka adalah pengalaman mengurus bukan usahawan.

Pihak university seharusnya mula mengenalpasti usahawan-usahawan yang bermula dari bawah seperti contoh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan lain-lain.  Universiti sepatutnya menjadikan mereka ini sebagai ikon kerana mereka adalah usahawan yang bermula dari bawah bukan sebagai CEO yang dilantik dan dibayar gaji untuk menguruskan syarikat.

Siswazah boleh bermula dengan mewujudkan syarikat-syarikat Sendirian Berhad atau Berhad dan mengumpul beberapa orang siswazah daripada pelbagai bidang menjadi rakan kongsi, mungkin kita boleh bermula daripada Fakulti Ekonomi sebagai pentadbiran dan pengurusan, manakala Fakulti lain ialah sebagai pengkhususan perniagaan yang akan dicebur seperti Biotek, Engginering dan sebagainya.

Ini kerana, jika kita mahu bercakap mengenai kekuatan dan sebagainya mereka ini harus dibentuk dalam kumpulan-kumpulan perniagaan dan masing-masing akan menyumbang dalam bentuk kepakaran masing-masing bagi membangunkan sesebuah syarikat atau perniagaan.  Jangan cuba suruh atau paksa siswazah berniaga gerai burger atau goreng pisang kerana ini akan memberikan persepsi bahawa bidang keusahawanan ini ialah berniaga kecil-kecilan seperti berniaga di gerai atau warung.

Perkara seperti ini telahpun dilakukan oleh beberapa agensi kerajaan di tahun-tahun terdahulu dan kesannya hamper 90 peratus menghadapi kegagalan.  Seperti contoh menternak keli, agensi-agensi kerajaan member pembiayaan sehingga RM 50,000 dan sebagainya, namun akhirnya ikan keli yang diternak tidak dapat dijual kerana dalam suasana ini bekalan yang konsisten sangat perlu menyebabkan peluang untuk memasarkan ikan keli tidak menjadi dan akhirnya siswazah dan belia yang menjalankan projek tersebut gulung tikar dan pinjaman tidak dapat dibayar.

Begitu juga dengan beberapa projek lain termasuk juga system Fracaisor dan Francaise masih banyak yang gagal kerana tidak berada dalam menang-menang dan yang menjadi mangsa ialah siswazah yang membuat pinjaman bakal diisytikarkan sebagai Bankrup kerana perniagaan yang berbentuk Francaise tidak berdaya saing.

Tidak juga terlepas mengenai pembangunan peruncitan melalui satu agensi kerajaan yang membangunkan usahawan dalam sektor peruncitan juga tidak berdaya maju.  Sepertimana yang telah saya nyatakan dalam tulisan saya yang lepas.  Perniagaan runcit (kedai runcit) tidak lagi mampu berkembang kecuali mekanismenya diubah.  Salah satu cadangan yang saya buat ialah menjadikan kedai runcit sebagai KEDAI RAKYAT ataupun dipanggil sebagai PUSAT PERKHIDMATAN kepada komuniti untuk mendapatkan produk kegunaan harian mereka pada HARGA KOS.  Dan konsep kedai ini boleh ditadbirurus oleh syarikat-syarikat siswazah yang dibentuk sebagai contoh.

Banyak lagi peluang perniagaan yang boleh diwujudkan dan boleh diambil peluang oleh siswazah dan belia namun semua pihak harus memberikan kerjasama dan sokongan.  Saya dan The RIGHTS tidak mampu untuk melakukan tetapi sokongan kerajaan, university, industry dan rakyat harus bersama untuk memastikan survivality orang Melayu berada di landasan yang betul.

Allahualam..

Haris Fadzlah Mat Ali
Presiden
The RIGHTS

No comments:

Post a Comment