Thursday, November 11, 2010

INFORMASI :DARI MEJA PRESIDEN.33 : Istana 2020 Dimanakah Usahawan Bumiputera

Assalammualaikum WBKT,

Model Baru Ekonomi (MBE) akan memacu Negara sebagai Negara maju menjelang 2020, Istana 2020 yang sedang dibina sekarang memerlukan semua bergerak dan bertindak secara kolektif dan pihak swasta diharapkan akan menjadi penggerak ke arah itu.  Jangan apabila Istana 2020 ini siap nanti kita hanya sebagai pemerhati atau sebagai pemain kecil, menjadi jaga atau pencuci tandas atau mungkin juga sebagai pengelap lantai.  Kita tidak mahu presiden suite, bilek-bilek mewah hanya didiami mereka tetapi kita hanya menumpang teduh di koridor atau mungkin hanya tinggal dipondok pengawal.  Oleh itu kita harus mengubah eco-system usahawan Bumiputera supaya kita bersama-sama membangunkan Istana 2020 dan kita juga setaraf dengan mereka.

Usahawan Bumiputera, seharusnya mereka menjadi lebih terbuka dan bertindak secara kolektif dan professional.  Tidak boleh lagi hanya berfikir di atas kepentingan peribadi tetapi mesti memikirkan penyatuan bagi menggerakkan sesuatu perniagaan berimpak tinggi.

Semua Kakitangan Kerajaan dan Agensi, NGO, Usahawan malah semua orang Bumiputera harus membina plan tindakan dan seterusnya melaksanakan bukan sekadar sembang-sembang kedai kopi yang retorik.

Setelah beberapa hari berada di Lab Industri Terpilih di MITI, hati saya berdebar-debar, sangat teruja dan berharap ia dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin, kerana inilah caranya lonjakan ekonomi Bumiputera dapat dilaksanakan namun ia mestilah mempunyai kesinambungan kerana jika dilaksanakan tetapi masih mempunyai lompang-lompang ia akan menyebabkan ketirisan dan ketirisan jika ia masih berlaku saya percaya ia tidak mencapai matlamat.

Ahli Lab yang terdiri daripada kakitangan kerajaan, agensi-agensi, bank-bank pembangunan sangat berusaha dan sangat memberikan input bagi melaksanakannya dengan jayanya, namun adakah usahawan atau NGO ekonomi kita sudah bersedia untuk berubah dan menerima kerja buat dalam bentuk kolektif (perniagaan secara berjamaah / kumpulan).  Ini kerana, perniagaan atau usaha secara bersendirian seperti yang banyak diamalkan sekarang oleh usahawan Bumiputera tidak akan banyak memberikan impak sama ada kepada industry tersebut mahupun masyarakat kerana kapasiti yang ada kebanyakkan masih dalam kategori mikro.

Usahawan dan NGO ekonomi Bumiputera mestilah berfikiran dan bertindak secara Makro dan perubahan ini tidak mampu dilaksanakan secara bersendirian dan mestilah dilaksanakan secara berkumpulan.  Kita usahawan mestilah menjadi usahawan Bijak dan bukan lagi sebagai usahawan Kuat.

Untuk menjadi usahawan Kuat seharusnya kita tinggalkan dan usahawan Bijak mestilah ditekankan kerana jika kita bekerja kuat sahaja tetapi tidak bijak menguruskan perniagaan kita tidak akan mampu menggerakkan perniagaan Glokal dan ini akan mengekang perkembangan sesuatu perniagaan / industry.

Ini pengalaman yang mungkin saya boleh kongsikan, saya menemui seorang usahawan Bumiputera yang boleh dikatakan agak Berjaya dalam industry makanan dan ia mempunyai hanya satu produk dan produknya banyak juga dijual di pasaraya dan restoran-restoran di sekitar lembah kelang dan jualannya mencecah RM 2 ke 3 juta setahun.  Saya juga mempunyai ramai usahawan dalam industry yang sama dengan beliau tetapi bukan produk yang sama tetapi masih kecil.  Saya berjumpa dengan usahawan ini untuk membincangkan mengenai kerjasama yang beliau mungkin boleh membantu usahawan-usahawan kecil ini untuk memasarkan produk mereka melalui saluran yang beliau telah wujudkan, namun saya terkejut dengan kata-kata beliau, “saya bangun sendiri, saya buat sendiri kenapa saya harus syer pasaran yang saya dah buat untuk mereka menjadi pesaing saya, saya tak minat nak bekerjasama dengan mereka masing-masing caralah”.

Saya katakana kepada dia, “kalau saudara bantu mereka (usahawan kecil) inipun saudara tidak rugi apa-apa, pertama saya katakan bahawa produk saudara dan mereka berbeza, kedua usaha yang saudara buat juga mendapat keuntungan, ketiga saya katakana bahawa rezeki kita bukan kerana berkongsi cara tetapi semua rezeki kita datang daripada Allah SWT, keempat jika kita berkongsi ilmu dan pengetahuan dengan orang lain, Allah akan memberikan ganjaran yang lebih, tidak cukupkah saudara?”  Dia dengan selamba meninggalkan saya.

Ini adalah kes yang terbaru tetapi ada banyak kes lain lagi jika nak diceritakan, dan jika inilah sikap usahawan atau NGO ekonomi kita yang ada sekarang, apa sahaja usaha kerajaan dan kakitangannya tidak akan mampu merubah apa-apapun dan hanya yang kita mampu dengar di Istana 2020 yang telah siap nanti ialah kerajaan tidak membantu, agensi tidak membantu, kakitangan kerajaan tidak membantu dan semangat patriotik mereka telah hilang, bank-bank pembangunan menyusahkan dan tidak berusaha hendak membantu.

Kita sebagai usahawan dan NGO ekonomi mestilah terlebih dahulu berubah sikap, pendekatan, cara pemikiran serta cara tindakan barulah boleh perubahan keseluruhan rantaian nilai ini berubah.  Kita kena kurangkan atau mungkin hapus mentality subsidi, bantuan, projek kerajaan dan lain-lain yang seumpamanya yang boleh menyekat pemikiran dan tindakan kita.  Namun jika kerajaan membantu kita itu adalah bonus kepada industry kita tetapi jika tidak ada janganlah merasa kecewa dan kecil hati.

Sikap.  Kita kena berubah daripada dibantu kepada membantu.  Bukan sahaja membantu perniagaan kita, kita juga harus membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada anak-anak bangsa.  Jangan suka mementingkan diri, kerana perniagaan yang kita laksanakan pembelinya juga Bumiputera menjadi sasaran utama.  Jika kita banyak membantu dan member, Allah SWT akan memberikan lebih daripada apa yang kita beri.  Dengan sikap kita ini, akan lebih banyak siswazah dan belia akan mendapat peluang kalaupun bukan mereka mungkin anak dan saudara mara kita.  Ini akan mengurangkan bebanan kerajaan untuk menyediakan pekerjaan kepada belia dan siswazah di Negara ini.

Pendekatan.  Pendekatan kita harus berbeza, walaupun kita bukan daripada berpendidikan tinggi, namun kita boleh mendapatkan mereka-mereka diluar sana (siswazah) yang mempunyai kepakaran didalam bidang masing untuk mengubah pendekatan perniagaan kita yang akan dilihat lebih professional bagi membolehkan perniagaan atau syarikat mempunyai daya saing yang tinggi.  Usahawan itu sendiri mesti mengubah pendekatan daripada negatif kepada positif, jika ada rancangan usahasama hendak dilakukan dengan kita, kita mestilah mencari kebaikan yang ada bukan meletakkan halangan yang pelbagai dan ini akan menyekat pengembangan perniagaan.

Cara Berfikir.  Cara kita berfikir mestilah berubah ke minda usahawan bukan minda peniaga.  Usahawan mestilah kreatif, inovasi dan sentiasa mencari dan mengenalpasti peluang yang ada dan yang paling utama kita boleh berfikir bagaimana untuk mewujudkan peluang.  Kegagalan kita berfikir untuk mewujudkan peluang juga akan menyekat perkembangan perniagaan dan lama kelamaannya perniagaan kita tidak akan berdaya saing terutama dalam industry otomotik, ict dan sebagainya kerana setiap detik dan saat pelbagai produk baru akan dikeluarkan pelbagai konsep perniagaan baru akan perkenalkan dan pelbagai produk baru akan dipasarkan dan semuanya akan lebih baik dan lebih murah.  Jika kita gagal berfikir secara kreatif dan inovasi, mungkin perniagaan dan produk kita akan menjadi ketinggalan zaman.

Cara Bertindak.  Ini juga satu perkara yang sangat penting, cara kita bertindak jangan gunakan emosi dan nafsu kerana apa yang akan kita laksanakan nanti mungkin merugikan diri / perniagaan / kakitangan atau mungkin juga masyarakat.  Bertindaklah secara bijak kerana pelanggan adalah Raja kerana tanpa pelanggan peniagaan kita tidak akan kemana-mana.  Sepandai mana sekalipun kita, sebaik dan seindah manapun perniagaan kita, jika kita tidak bertindak bijak pelanggan akan lari.

Wah banyak sungguh yang harus berubah mungkin ini yang disebut sebagai Anjakan Paradigma.  Oleh sebab itu, saya lebih senang berusaha sama dengan siswazah dan belia yang baru berjinak-jika dalam perniagaan, mereka ini ibarat kain puteh dalam perniagaan kita boleh mendidik mereka dengan menerapkan nilai-nilai yang baik dalam perniagaan serta tadbir urus korporat.

Seperti contoh, kita ada ramai usahawan pembuat kerepek, beratus orang mungkin juga beribu.  Namun sehingga kini tidak banyak kerepek ini dikomersilkan secara professional, mungkin ada satu atau dua pengusaha kerepek yang baik tetapi ia masih tidak cukup baik jika mahu dibandingkan dengan Pringles dan beberapa produk lagi.  Sebab apa jadi begini, kerana pengusaha kerepek ada pengusaha kuat, dialah nak cari pisang atau ubi, dialah nak proses, dialah nak menggoreng, dialah nak membungkus, dialah nak memasarkan, dialah nak jaga akaun dan semua dia nak buat ini yang saya maksudkan usahawan Kuat

Apa yang saya dan The RIGHTS buat, kami membentuk konsortium usahawan kerepek dan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) terdiri daripada siswazah daripada bidang kepakaran masing-masing, seperti Ketua Eksekutif, Timbalan Ketua Eksekutif, Pengarah Kewangan, Pengarah Pemasaran, Pengarah Perhubungan Korporat, Pengarah Pembangunan Perniagaan dan lain-lain semuanya siswazah.  Mereka bukan pengusaha kerepek, tetapi mereka ini boleh membantu pengusaha kerepek bagi tujuan pembanguan industry kerepek, seperti produk kualiti, pembungkusan, pengurusan, pemasaran dan pengembangan perniagaan dan sebagainya.  Manakala pengusaha kerepek seharusnya lebih menumpukan kepada pembangunan produk mereka, buat R & D, pembangunan produk baru dan seribu satu perkara lagi yang harus dilaksanakan oleh mereka.

Bagitu juga dengan industry-industri lain seperti kontraktor, perikanan, pertanian, penternakan dan sebagainya kerana saya dan The RIGHTS percaya bahawa dengan konsep ini lonjakan akan dapat dilakukan oleh usahawan Bumiputera.

... dari Universiti ke Industri..

Inilah projek yang The RIGHTS sedang laksanakan, dan dengan ini The RIGHTS mensasarkan 100 syarikat awam dapat di wujudkan setiap tahun dan akan mewujudkan 900 orang Usahawan Bijak dan dijangka lebih 20,000 usahawan sedia ada akan mendapat manfaatnya.  Dijangka 500 syarikat awam dapat dibangunkan dalam RMK 10 di bawah projek ini.

The RIGHTS telah mula mengatur pertemuan dengan semua IPTA / S bagi memberikan taklimat dan mendapat persetujuan mereka, antaranya yang telah ditemui bagi perbincangan awal ialah UNIKL, UTM, UiTM, USM dan Insya-Allah waktu terdekat ini UPM.  The RIGHTS akan berusaha untuk menemui beberapa lagi IPTA / S yang berminat untuk bersama-sama untuk menjayakan projek ini pada masa terdekat.

Satu kertas cadangan komprehensif perlaksanaan sedang disiapkan bersama SIRIM dan UiTM dan kertas cadangan ini akan dibentangkan kepada KPT, MOSTI, MITI, MoA, KPDNKK, KBS dan lain-lain yang berkaitan yang mungkin terlibat secara langsung atau tidak.  Beberapa badan NGO juga akan dijangka akan dijemput sama termasuklah GABEM dan badan-badan afiliasiya.

Semoga dengan sambutan Syawal yang tidak beberapa hari ini menjadi titik permulaan satu era perubahan bagi melonjakkan ekonomi Bumiputera selain menggerakkan pegangan ekuiti Bumiputera yang masih belum tercapai semenjak DEB dilaksanakan.

Gerakan pembangunan ekonomi Bumiputera secara besar-besaran mestilah dilakukan bagi member impak yang lebih besar terutama kepada 40 peratus rakyat Negara ini yang dikategorikan sebagai rakyat yang perlu dibantu.  Gerakan ini sedang dilaksanakan oleh The RIGHTS, The RIGHTS memohon semua pihak menyokong dan menyertainya.  Oleh sebab itu, saya dan The RIGHTS berusaha untuk menemui semua NGO Ekonomi untuk memberikan taklimat mengenai apa yang sedang dilaksanakan oleh The RIGHTS dan mengapa mereka (NGO) harus bersama-sama The RIGHTS untuk menggerakkan RANTAIAN NILAI ini...

Semoga Allah SWT memberikan hidayah dan kekuatan kepada kami dan semua Umat Islam dalam perjuangan ini.  Tanpa sokongan semua dan Allah SWT menghendakinya berlaku tidak mungkin saya dan The RIGHTS melaksanakannya.

Allauhualam,

Haris Fadzlah Mat Ali
Presiden
http://www.rights.com.my/

No comments:

Post a Comment