Thursday, November 11, 2010

INFORMASI :DARI MEJA PRESIDEN 32 : Merdekakah sudah Ekonomi Bumiputera...

Kini kita telahpun menyambut hari kemerdekaan yang ke 53, jika ia seorang manusia maka sudah lebih setengah abad usianya dan pada waktu ini nyawanya tidak dipanggil Allah SWT maka hukumnya boleh dikatakan kubur kata mari dan rumah kata pergi.

Namun jika kita dipanggil waktu ini, apakah yang akan kita akan tinggalkan kepada anak cucu kita? Adakah kita akan meninggalkan kesusahan dan kepayahan untuk meneruskan kehidupan pada masa hadapan, atau sekadar kita boleh menceritakan sejarah kegagalan kita untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka?

Kita Bumiputera telah terlalu lama diberikan keistimewaan berdasarkan kepada persetujuan bersama sewaktu perlembangan negara digubal, namun keistimewaan dan kelebihan tersebut telah mula dipertikai dan cuba diusik oleh orang-orang yang melihat bahawa Bumiputera telah terlalu lama diberikan keistimewaan menyebabkan kita telah di cop sebagai golongan subsidi dan semuanya harus diberi subsidi atau disokong oleh kerajaan bagi meneruskan survivality.

Saya fikir tidak salah mereka berfikir begitu dan sepatutnya Bumiputera yang mempunyai segala keistimewaan tersebut sudah mampu untuk berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain yang tidak mendapat keistimewaan tersebut.  Tetapi apa terjadi kepada Bumiputera sekarang, kita masih lagi tercari-cari titik permulaan untuk mula membentuk kartel-kartel ekonomi yang sepatutnya kita telah lakukan sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1970.

Waima sehingga sekarang kita masih tercari-cari seperti orang buta kehilangan tongkat, meraba-raba tidak tentu hala.  Bila berlaku dialog, konferen dan sebagainya kita pulak asyik menuding jari kepada orang itu dan ini kerana tidak membantu itu dan membantu ini.  Perkataan membantu tidak terlepas daripada mullut setiap orang sama ada usahawan, pekerja kerajaan, OKU, orang miskin dan boleh dikatakan hampir semua orang harus dibantu dan sasarannya adalah kerajaan dan agensi-agensinya.

Sampai bila kita harus dibantu?

Selagi kita Bumiputera tidak bersatu selagi itulah kita memerlukan bantuan.  Orang politik bercakap mengenai politik 24 jam sehari dan 364 hari setahun bercakap mengenai politik, sampai nak makan cerita politik, di tempat kerja politik, di surau politik, di masjid politik dan hampir setiap saat nafas dan disedut dan dihembus juga berbaur politik.

Jika inilah senarionya, bila pemimpin politik boleh berfikir mengenai pembangunan negara, negeri dan bangsanya.

Manakala NGO Ekonomi dan Usahawan Bumiputera, masih menadah tangan mengharapkan dapat projek-projek kerajaan dan jika tidak dapat projek kerajaan mereka mula mengatakan bahawan kerajaan tidak prihatin.  Saya juga terfikir, bangsa lain Cina dan India di negara ini tidakpun mendapat keistimewaan untuk mendapat projek kerajaan tetapi mereka masih boleh hidup malah bertambah maju.  Ini adalah hasil daripada kreativiti pemimpin-pemimpin NGO dan usahawan mereka membolehkan mereka mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan tanpa mengharapkan projek-projek kerajaan.

Begitu juga siswazah dan belia-belia Bumiputera, hampir semuanya mengharapkan mendapat pekerjaan disektor kerajaan atau swasta.  Mereka hampir tidak ada kekuatan minda tidak berani mengambil risiko untuk meneroka dalam bidang keusahawanan.  Kerana pada mereka bidang keusahawanan masih dilihat sebagai satu bidang yang tidak menjamin masa depan.

Ye saya tidak menyalahkan mereka kerana mereka menjadi seperti itu, kerana pendidikan yang diberikan kepada mereka tidak membolehkan mereka berfikir secara usahawan jika adapun mereka diberikan pendedahan sebagai peniaga.  Kita masih menyogokkan siswazah berniaga secara sendiri-sendiri dan yang lebih malang siswazah digalakkan berniaga kecil-kecilan seperti meniaga kiosk, kedai runcit dan sebagainya yang tidak memberikan mereka cabaran dan pendedahan disektor korporat perniagaan yang lebih skala sederhana dan besar.

Mereka (siswazah) mestilah diterapkan dengan konsep perniagaan sektor korporat dan secara berkumpulan dan setiap siswazah memegang jawatan berdasarkan kepakaran pendidikan yang mereka terima.  Jika ia seorang siswazah perakaunan beliau mungkin boleh memegang jawatan sebagai Pengarah Kewangan bagi sebuah syarikat bidang pemasaran mungkin boleh dilantik sebagai Pengarah Pemasaran dan sebagainya, dengan cara ini mereka berkongsi di dalam satu syarikat dan masing-masing membawa kepakaran masing-masing untuk disumbangkan kepada syarikat mereka.

Rugilah jika seorang siswazah yang mendapat ijazah hanya sekadar boleh berniaga burger atau nasi lemak tepi jalan. 

Bila YAB Perdana Menteri membentangkan Model Baru Ekonomi dengan menyatakan bahawa negara menuju ke negara berpendapatan tinggi menjalang 2020 tetapi kita masih mengamalkan bekerja atau berniaga sendiri-sendiri, saya tidak fikir apa yang dihasratkan oleh YAB Perdana Menteri akan dapat dicapai oleh Bumiputera.

Dalam situasi ini, semua pihak baik kerajaan, baik agensi, NGO Ekonomi, usahawan dan bakal usahawan mesti melakukan perubahan minda dan perubahan tindakan untuk membentuk kumpulan-kumpulan usahawan dan bukan usahawan sendiri-sendiri, selain untuk membina kekuatan keusahawanan tersebut RANTAIAN NILAI juga boleh dibina.

Rantaian Nilai!

Semua daripada kita tahu, titik kelemahan usahawan Bumiputera adalah RANTAIAN NILAI namun sehingga kini usaha untuk membina Rantaian Nilai ini tidak diusahakan dan masing-masing melihat sesama sendiri siapa nak laksanakan.  Kerajaan berharap agensi, agensi harapkan NGO dan NGO pulak harapkan usahawan dan usahawan mengharapkan kerajaan begitulah seterusnya seperti lagu Bangau oh Bangau...

Seperti artikel-artikel yang lepas saya sudah beberapa kali menekankan bahawa Rantaian Nilai mesti dilaksanakan, namun seperti yang saya sebutkan tidak ada usaha untuk melaksanakannya. 

The RIGHTS cuba melaksanakannya, namun lebih 2 tahun The RIGHTS cuba melaksanakannya dengan sokongan beberapa usahawan yang sangat sedar keperluannya, namun NGO-NGO yang diharap untuk bersama-sama melaksanakan sekadar melihat malah kertas cadangan yang dihantar ke Kementerianpun tidak mendapat respon serta tindak balas. 

The RIGHTS bukan nak minta bantuan, tetapi cukuplah sokongan dan kerjasama serta penyertaan usahawan bagi sama-sama membina Rantaian Nilai ini.  Namun usahawan sedia ada masih tidak melihat ini sebagai keperluan, jika adapun penyertaan semuanya hendak percuma, kerana sikap subsidi masih menebal di dalam diri mereka.

Tak mengapalah, The RIGHTS terus begerak walaupun agak lambat tetapi lebih baik lambat daripada tidak ada langsung.

The RIGHTS kini akan memfokuskan kepada pembangunan dan pengwujudan usahawan-usahawan baru yang kurang sifat subsidinya kerana The RIGHTS fikir usahawan generasi baru ini lebih mempunayai semangat patriotik dan volunteerismnya kerana mereka tidak dididik sebagai usahawan subsidi.

The RIGHTS berbangga walaupun tidak banyak kejayaan, namun putik-putik kejayaan telahpun kelihatan dan The RIGHTS percaya akan wujud usahawan-usahawan yang mampu memberikan impak yang lebih besar kepada bukan sahaja kepada mereka tetapi juga kepada masyarakat kerana kewujudan mereka akan menghasilkan peluang-peluang baru serta peluang-peluang pekerjaan kepada belia-belia kerana usahawan baru yang dibina merupakan usahawan Sederhana dan Besar.

Oleh itu, siswazah atau graduan yang masih belum memikirkan apa yang hendak dilakukan, dialu-alukan berjumpa dengan The RIGHTS bagi mendapatkan input-input serta peluang-peluang yang ada,  Ada beribu peluang yang ada, jadi tepuk dada tanya selera...

Wassalam.

Haris Fadzlah Mat Ali
Presiden
The RIGHTS

No comments:

Post a Comment