Thursday, November 11, 2010

INFORMASI :DARI MEJA PRESIDEN 35 : Program Transformasi Ekonomi (ETP)

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam kepada semua usahawan-usahawan The RIGHTS, pejuang-pejuang ekonomi dan semua sahabat.

Program Tranformasi Ekonomi (RTP) telahpun dilancarkan dengan rasminya oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini di PWTC.  Saya juga turut hadir namun kehadirannya sangat ramai membuatkan saya tidak dapat memasuki dewan utama dan terpaksa melihat daripada screen besar sahaja. Namun sewaktu untuk mendapatkan buku tersebut saya gagal untuk mendapatkannya.

Pun begitu saya bersyukur kerana saya dapat melihat sendiri senario yang sangat hebat dan melihat kepada kehadiran yang datang, ramai juga yang ingin mengetahui atau tidak ketinggalan mahu mengetahui apakah program atau peluang yang ada bagi sama-sama mengambil peluang.

Saya juga kagum dengan pencapaian 9 kejayaan awal, antaranya menempatkan semula dan mewujudkan loji fabrikasi water oleh syarikat jerman, mydin pula akan membuka lagi 14 cawangan baru, 208 bilek hotel dan 160 unit kediaman diuruskan oleh ST Regis.

Dalam pada itu, saya juga tertanya-tanya agaknya dimanakan usahawan Bumiputera akan turut serta?  Bagaimanakah penyertaan mereka? Apakah masih ada peluang untuk mereka?

Kita bercakap mengenai transformasi ekonomi (negara maju) tetapi usahawan Bumiputera masih dalam keadaan KECIL SANGAT entah dimanakah mereka ini akan ditempatkan pada tahun 2020 nanti?  Apakah tindakan Kerajaan?  Apakah proses perlaksanaannya akan berlaku secara menang-menang dan yang paling saya bimbangkan adalah yang besar akan bertambah besar manakala yang kecil akan lenyap dan mungkin berkubur.

Persaingan terbuka ini ada positifnya kerana ia akan memberikan peluang kepada semua sama rata, tetapi adilkah jika kita berlumba di jalan yang sama, ada yang menggunakan kuasa kuda 3000 dan ada pula yang menggunakan kuasa kuda hanya 150, sudah pastilah yang lemah akan ditinggalkan dan mungkin tidak sampai.  Kita jangan ambil cerita dongeng perlumbaan kura-kura dan arnab untuk menghalalkan cara.

Apapun kita sebagai usahawan Bumiputera tidak harus berdiam diri, sesuatu harus dilakukan bukan untuk berdemonstrasi atau apa, tidak guna lagi kita berdemonstrasi atau berdialog atau juga mungkin  menghantar memorandum ingin meminta sesuatu, kerana saya fikir waktu itu sudah pun berlalu atau mungkin sudah terlambat untuk kita berbuat demikian.

Apa yang harus kita lakukan ialah menyusun strategi untuk sama-sama menyertai mereka yang mega-mega ini, kita tidak harus selesa dalam keadaan sekarang kerana waktu untuk kita bersenang lenang sudah tidak ada lagi, masa untuk kita mengharap tongkat sakti sudah tidak wujud lagi.  Yang ada sekarang ialah siapa kuat dia dapat.

Kita sebagai Bumiputera sangat kuat, kita ada cukup senjata untuk menangkis dan memperolehi kek ekonomi, namun kerana kita tidak berusaha atau berusaha ala kadar kita jadi tertinggal dan jarak yang ditinggalkan sangat jauh sehingga kita memerlukan 20 tahun berusaha untuk kita boleh berdiri sama tinggi atau duduk sama rendah dengan mereka, itupun jika mereka tidak lagi bergerak kehadapan.

Apa yang harus kita lakukan?

Ada banyak cara, ada banyak bentuk, ada banyak rupa juga ada banyak dan banyak lagi, namun perkara-perkara asas ini harus kita selesaikan terlebih dahulu.

    * Kembali kepadaNya
    * Bumiputera harus bersatu.
    * Harus melihat semua perkara dalam bentuk positif.
    * Tiada hasad dengki.
    * Tiada syak wasangka terhadap bangsa sendiri.
    * Patriotik
    * Volunteerism.

Namun bukan senang untuk membentuk bangsa seperti yang saya nyatakan di atas, tetapi ia memang boleh dilaksanakan.  Kita hanya perlu wujudkan LANDASAN (Sistem) kepada semua Bumiputera untuk bersama-sama mengikut LANDASAN ini.  Hanya landasan yang ini yang membolehkan Bumiputera bersatu sama ada dalam bentuk ekonomi, komuniti ataupun bangsa.

Mustahil kita dapat mengubah manusia, kerana untuk mengubah manusia hanya Allah SWT yang bisa mengubahnya, namun manusia juga boleh berusaha jika kita menyediakan LANDASAN untuk dia berubah. perubahan yang saya maksudkan ialah PERUBAHAN TANPA SEDAR.

LANDASAN yang dibina mestilah secara holistik, tidak boleh terputus atau ada halangan kerana jika ada halangan objektif tidak akan sampai kepada sasaran.

Kita (Bumiputera) ada segalanya, oleh kerana ia tidak diurus dan dikoordinasikan dengan baik, maka kekuatan yang ada tidak dapat digunakan secara maksima dan mereka-mereka menggunakan kelemahan kita untuk mengurus sumber untuk membina kekayaan untuk mereka tanpa kita sedar.

Sebagai contoh, kedai runcit atau mini market Bumiputera yang ada di seluruh negara ada lebih daripada 20,000, jika kedai-kedai ini dapat diuruskan dengan baik, produk yang dihasilkan oleh Bumiputera dapat dijual di sana dan jika satu kedai boleh menjual satu botol sos cili Bumiputerapun usahawan sos cili terpaksa menghasilkan 20,000 botol sos cili sehari dan ini dikira sebagai satu industri yang agak besar.

Oleh sebab itu, saya dan The RIGHTS mengambil inisiatif untuk membantu usahawan peruncitan ini untuk mengurus perniagaan mereka di seluruh negara.  Dengan hanya memberikan sedikit tambah nilai kepada sistem dan penjenamaan kedai-kedai runcit ini akan menjadi PUSAT SERVIS KEPADA KOMUNITI dengan menjual produk pada HARGA KOS.

Kesan daripada perlaksanaannya nanti akan memberi impak kepada komuniti usahawan Bumiputera dan serta rakyat kerana, usahawan Bumiputera akan dapat menjual produk mereka tanpa banyak birokrasi dan tekanan, manakala rakyat akan mendapat barangan yang lebih murah daripada apa yang mereka perolehi daripada hipermarket dan pasaraya.  Dan yang lebih penting produk yang dijual adalah HALALAN TOYIBBAN.

Itu baru satu yang saya sebutkan sebagai contoh dan sedang dilaksanakan oleh The RIGHTS, malah ada beribu lagi peluang yang ada.  Nawaitu saya dan The RIGHTS adalah untuk mewujudkan lebih banyak peluang kepada Bumiputera dalam bidang perniagaan dan dengan yang demikian akan banyak peluang pekerjaan yang akan wujud. 

Dan semua ini akan diisi oleh anak dan cucu kita pada masa sekarang dan akan datang.  Mungkin kita terasa selesa sekarang, tetapi apa hal dengan anak-anak dan cucu kita akan datang?  Jika kita bekerja sebagai pegawai kerajaan sekarang bolehkah kita mewasiatkan jawatan kita kepada anak dan cucu kita nanti?

Oleh itu, saya perkenalkan projek ... dari UNIVERSITI ke INDUSTRI.. saya dan The RIGHTS ingin membentuk usahawan dari kalangan siswazah agar apa yang mereka belajar di universiti dapat dimanfaatkan oleh industri yang mereka cipta sendiri.  Mereka ada 'brain' tetapi mereka kurang pengalaman, tetapi usahawan yang ada dipasaran ada kemahiran tetapi untuk berfikir diluar kotak agak terhad (bukan semua) kenapa tidak kita gabung dan satukan mereka supaya 'brain' dan pengalaman ini bersatu membentuk satu kuasa yang boleh memberi IMPAK SEMAKSIMA MUNGKIN?

Ada banyak lagi yang boleh kita bincangkan, dan saya serta The RIGHTS sedia berkongsi dengan mana-mana agensi untuk mewujudkan 'road maps' seiring dengan Model Baru Ekonomi (MBE), ETP dan sebagainya agar bangsa ini terus kekal sebagai bangsa yang gagah.

Saya dan The RIGHTS tidak mampu untuk melaksanakannya sendiri, dan saya menyeru kepada semua pemimpin-pemimpin kerajaan, badan bukan kerajaan, sektor swasta untuk bersama-sama kita pacu negara ini ke negara maju menjelang 2020 dalam situasi MENANG MENANG..

Bimbang saya, jika bila terbina ISTANA 2020 nanti bangsa saya hanya menjadi JAGA atau PENCUCI TANDAS sahaja.  Bimbang saya jika bangsa saya esok hanya menjadi peniaga di kaki lima, pasar tani atau sekadar berniaga diwarung-warung haram.

Bangkitlah bangsaku demi Agama dan Negara yang tercinta... apa yang kita akan tinggalkan akan menentukan sama ada anak dan cucu kita terus kekal dan jangan sampai anak cucu kita KENCING kubur kita kerana meninggalkan kemiskinan kepada mereka.

Berjasalah sementara kita ada daya dan kuasa.......

Sekian, Wassalam

Haris Fadzlah Mat Ali
Presiden
The RIGHTS

No comments:

Post a Comment